KOMSAS Tingkatan 1 Novel - Pelari Muda

Novel Pelari Muda oleh Ghazali Ngah Azia




SINOPSIS KESELURUHAN :

Cerita ini mengisahkan pengalaman watak utama iaitu Kamarul seorang pelajar tingkatan 5 yang berjaya dalam acara sukan olahraga. Beliau perah terpilih mewakili negara dalam kejohanan sukan SEA di Brunei. Kamarul terpilih untuk mewakili negara dalam kejohanan sukan SEA di Bangkok dua bulan lagi. Dia dilatih oleh Encik Kadir. Kejayaan ini telah menjadikan Kamarul dikenali ramai, disanjung dan popular. Walau bagaimanapun, di sebalik kejayaan ini sikap Kamarul pada pandangan kawan-kawannya sudah berubah. Kamarul bersikap sombong, ego, menjauhkan diri daripada kawan-kawan, malah tidak berdisiplin menjalani latihan di bawah bimbingan Encik Kadir. Akibat sikapnya yang rendah moral itu, Kamarul ditegur oleh kawan baiknya Saridah. Teguran Saridah menjadi punca dia menyepikan diri daripada Saridah. Kamarul juga menunjukkan sikap tidak menghormati jurulatihnya. Teguran-teguran yang diberikan oleh Encik Kadir dibalas dengan jawapan dan tindakan yang tidak bermoral. Suatu hari, dalam perjalanan balik daripada latihan Kamarul dilanggar kereta. Dia dimasukkan ke hospital. Sepanjang berada di hospital, Encik Kadir dan Saridah tetap menziarahi Kamarul. Sikap bertanggungjawab Encik Kadir dan keprihatinan Saridah menjadikan titik mula Kamarul insaf dan berubah sikap. Setelah sembuh daripada kecederaan, Kamarul menjalani semula latihan di bawah bimbingan Encik Kadir. Hubungan Kamarul dengan Encik Kadir bertambah baik. Hasrat Kamarul untuk mewakili nergara telah direstui pihak sekolah. Kamarul dan delegasi Malaysia berlepas ke Bangkok untuk menyertai kejohanan sukan SEA ke-14 di Bangkok. Di Bangkok, Kamarul mengambil kesempatan bertemu De Wega, atlit sukan lari Filipina yang terkenal. Berita tentang Kamarul sebagai atlit Malaysia tersiar dalam media massa di Bangkok. Dalam acara lari 100m dan 400m kejohanan tersebut Kamarul berjaya meraih pingat emas. Kejayaan Kamarul mendapat pujian dan ucapan daripada Encik Kadir dan rakan-rakan, termasuk rakan-rakan sekelasnya di Malaysia. Kamarul mengucapkan terima kasih atas bimbingan yang diberikan oleh Encik Kadir dan menjadi pendorong kejayaan. Kamarul terkejut dan terharu apabila Encik Kadir menyatakan hasrat untuk
bersara. Setelah kejohanan Sukan SEA tamat, Kamarul dan delegasi Malaysia berangkat pulang ke Malaysia membawa kejayaan cemerlang untuk negara, sekolah dan untuk dirinya sendiri. Di lapangan terbang Kamarul telah disambut meriah dengan ucapan tahniah daripada ibu bapa dan rakan-rakannya.


TEMA :

Tema novel ini ialah kesombongan seorang remaja apabila mendapat sanjungan daripada media menyebabkannya tidak lagi berdisiplin dalam latihan. Hal ini dibuktikan menerusi watak utama, Kamarul yang meraih kejayaan cemerlang dalam sukan MSSM dan seterusnya terpilih dalam Sukan SEA di Brunei. Media banyak memaparkan kehebatan Kamarul menyebabkan dia menjadi sombong dan tidak mahu berlatih lagi di bawah kelolaan Encik Kadir. Hubungan dengan rakannya, Saridah juga renggang gara-gara sikapnya yang angkuh. Namun, dia akhirnya insaf apabila prestasinya menurun dan rakan pelatihnya, Sures berjaya mengalahnya dalam sesi kecerdasan.
PERSOALAN :
1. Hubungan dua jiwa remaja yang ada pasang surut

contohnya Kamarul berkawan rapat dengan rakan sekolahnya, Saridah dan Saridah pula amat menyayanginya, namun sikap Kamarul yang angkuh setelah terkenal menyebabkan hubungan mereka menjadi dingin.
2. Komitmen jurulatih untuk memastikan pelatih yang dibimbing menjadi juara

contohnya Encik Kadir berterusan melatih Kumar, Sures, dan Rajip untuk memastikan mereka meraih kejuaraan dalam Sukan SEA di Bangkok. Encik Kadir juga melatih Kamarul dengan sabar sehingga Kamarul meraih pingat emas dalam acara 100 meter dan 400 meter walaupun pada peringkat awal Kamarul tidak berdisiplin, angkuh, dan suka berlatih sendiri.3. Kekurangan kasih sayang menyebabkan anak bersikap dingin terhadap keluarga sendiri

contohnya Saridah kurang mendapat perhatian daripada keluarganya; emaknya sibuk dengan persatuan wanita, ayahnya sibuk dengan hal kerja di pejabat, dan kakaknya lebih mengutamakan tunangnya, menyebabkan Saridah lebih selesa menghabiskan masa bersama-sama Juriah dan mengharapkan perhatian daripada Kamarul.
4. Disiplin penentu kejayaan
contohnya Encik Kadir dan atlet Filipina, De Wega menasihati Kamarul tentang pentingnya disiplin jika ingin menjadi atlet yang berjaya.


Plot Binaan Plot
(a) Permulaan

Kamarul bersiap-siap hendak ke sekolah. Kamarul tidak gembira kerana hubungannya dengan Saridah semakin renggang. Dalam perjalanan ke sekolah, Kamarul teringat akan Cikgu Zainal, guru sukan yang mula-mula mengesan bakatnya dalam bidang olahraga.
(b) Perkembangan

Kamarul telah banyak berubah kerana sudah terkenal. Kamarul enggan berlatih dengan Encik Kadir kerana baginya latihan yang diberikan oleh Encik Kadir amat membosankannya. Kamarul enggan bergaul dengan kawankawan sekolah. Kamarul juga enggan menjalani latihan sukan sekolah.
(c) Klimaks

Kamarul susah hati. Tahap kecergasannya semakin menurun. Kamarul bergaduh dengan Encik Kadir kerana dia kerap ponteng latihan. Akibat terlalu runsing, Kamarul melintas jalan raya tanpa menoleh ke kiri. Kamarul dilanggar kereta. Kamarul melambung ke udara kemudian terhempas di tengah-tengah jalan. Kamarul pengsan lalu di bawa ke hospital.
(d) Peleraian

Kamarul mendapat dua pingat emas dalam acara lari pecut 100 meter dan 400 meter dalam Sukan SEA ke- 14 di Bangkok. Kamarul menerima ucapan tahniah daripada Encik Kadir dan rakan-rakannya di Malaysia. Kamarul bertukar-tukar cenderamata dengan De Wega. Kamarul dan atlet-atlet yang lain pulang ke Malaysia.



Teknik Plot


WATAK DAN PERWATAKAN

Kamarul Baharuddin
(a) Kamarul Baharuddin ialah watak utama dalam novel ini.
(b) Berusia 17 tahun.
(c) Seorang pelari pecut, mewakili negara Malaysia.
(d) Kamarul berkawan rapat dengan Saridah. Mereka mula berkawan rapat semasa sukan MSSM.
(e) Seorang yang angkuh dan sombong kerana kejayaan dan kepopularannya.
(f) Seorang yang tidak berdisiplin.
(g) Belajar dalam Tingkatan 5 Sastera 1 dan akan menduduki peperiksaan SPM pada hujung tahun.
(h) Tidak mengenang budi – Kamarul enggan berlatih bawah bimbingan Encik Kadir kerana telah bosan.
(i) Buruk sangka – Encik Kadir sengaja mendendanya berlari lapan kali pusing keliling padang untuk membalas dendam.
(j) Insaf akan kesalahannya – Kamarul menyesal bersikap kurang ajar dengan Encik Kadir dan bersikap sombong dengan kawan-kawan sekolah setelah dia dilanggar kereta.
Saridah
(a) Saridah ialah kawan baik Kamarul.
(b) Berusia 17 tahun.
(c) Seorang pelari pecut.
(d) Berkawan baik dengan Kamarul dan Juriah.
(e) Menyukai Kamarul dan amat mengambil berat tentang Kamarul. Seorang yang bersopan santun.
(f) Seorang yang peramah dengan orang tua.
(g) Belajar dalam Tingkatan 5 Sastera 1 dan akan menduduki peperiksaan SPM pada hujung tahun.


Mak Jah
(a) Ibu kepada kamarul dan isteri kepada Encik Baharudin.
(b) Seorang ahli perniagaan yang berjaya.
(c) Penyayang – Menyayangi Saridah kerana dia tidak mempunyai anak perempuan.
(d) Prihatin – Menasihati Kamarul supaya berbaik-baik dengan Saridah.


Sures Menon
(a) Sures ialah ahli sepasukan dengan Kamarul.
(b) Berusia 17 tahun.
(c) Seorang pelari pecut, mewakili negara Malaysia.
(d) Berazam untuk menewaskan catatan masa Kamarul.
(e) Seorang yang bersemangat dan bersungguh-sungguh.
(f) Seorang yang berdisiplin.
(g) Seorang yang amanah – Buktinya, dia menyampaikan pesanan Encik Kadir kepada Kamarul.


Juriah
(a) Juriah ialah kawan baik Saridah.
(b) Berusia 17 tahun.
(c) Sentiasa membantu Saridah dalam susah dan senang.
(d) Seorang yang selalu bergurau.


Encik Kadir
(a) Encik Kadir ialah jurulatih untuk atlet olahraga kontinjen Malaysia.
(b) Seorang yang tegas.
(c) Penyabar.
(d) Seorang yang tidak berputus asa dan mengambil berat akan atlet-atletnya.
(e) Seorang yang bertimbang rasa.


De Wega
(a) De Wega ialah pelari pecut Filipina yang diminati Kamarul.
(b) Berusia 34 tahun.
(c) Seorang yang peramah dan rendah diri.
(d) Seorang buruh kereta api sebelum menjadi pelari pecut.
(e) Seorang yang berdisiplin.
(f) Seorang yang bersungguh-sungguh dan tidak mudah berputus asa.
(g) Pemurah dalam memberi nasihat



LATAR TEMPAT :
1. Pusat Sukan Kampung Pandan
Kompleks tersebut merupakan tempat Kamarul dan rakan-rakannya seperti Sures berlatih di bawah kendalian Encik Kadir sehinggalah berjaya membentuk Kamarul menjadi atlet yang berjaya dan meraih kejuaraan dalam Sukan SEA di Bangkok.

2. Stadium Nasional, Bangkok
Tempat berlangsungnya Sukan SEA yang ke-14 dan di tempat itulah Kamarul berjaya meraih pingat emas menerusi acara 100 meter dan 400 meter.

3. Hospital
tempat Kamarul menerima rawatan selama empat hari, gara-gara dilanggar kenderaan.

4. Stadium Merdeka
tempat Kamarul dan Saridah menyertai Sukan MSSM. Di situlah jugalah mereka saling mengenali seterusnya hubungan tersebut berpanjangan sehinggakan timbul perasaan sayang di jiwa Saridah terhadap lelaki itu.

5. Kantin sekolah
tempat Saridah dan Juriah bersembang tentang hubungannya dengan Kamarul yang renggang dan Juriah pula menasihati Saridah agar melupakan Kamarul sebaliknya memberi fokus terhadap SPM.


LATAR MASYARAKAT
Masyarakat yang sombong dan angkuh apabila mendapat kejayaan dan populariti.
Masyarakat yang berdisiplin.
Masyarakat yang tidak menepati janji dan masa.
Masyarakat yang lemah kerana cinta.
Masyarakat yang gigih berusaha.
Masyarakat atlet yang gigih menjalani latihan.
Masyarakat pelajar.
Masyarakat yang bertanggungjawab.


LATAR MASA
1 waktu sarapan pagi
2 waktu rehat persekolahan


GAYA BAHASA :
(a) Diksi

Penggunaan kata dalam bahasa Inggeris. Antaranya, one, two, three, airport, dan sorry. (b) Peribahasa

(i) jauh hati
(ii) kilas ikan di air aku tahu jantan betinanya (c) Sinkope

(i) “Kamu nak ke mana ni?” tegur Mak Jah.
(ii) “Tak bersampul?” kata Juriah sambil mengeyitkan mata. (d) Simile

(i) Kamarul bagaikan seekor kuda yang dipacu punggungnya memecut sekuat tenaga.
(ii) Daunnya bergerak-gerak seperti diusik-usik.(e) Personifikasi

(i) Hatinya dicengkam dengan seribu kemarahan.
(ii) Cermin jendela Airbus kelihatan merenek-renek dilanda tempias hujan. (f) Repetisi

Mengharapkan emak di rumah, emak lebih sibuk dengan persatuan wanitanya. (g) Anafora

Maafkan aku, Saridah! Maafkan aku, Cikgu Zainal! Maafkan aku, Encik Kadir! Maafkan aku, kawan-kawan! (hal. 82 – 83)


NILAI MURNI :
1. Kesyukuran
contohnya Kamarul melahirkan rasa syukur kepada Allah SWT apabila memperoleh pingat emas dan memecahkan rekod baharu dalam acara 100 meter di Sukan SEA.

2. Patriotisme
contohnya Kamarul menganggap kemenangannya memperoleh pingat emas dalam acara 100 meter dan 400 meter di Sukan SEA bukan sahaja untuk dirinya tetapi untuk negara.

3. Kasih sayang
contohnya Mak Jah mengambil berat kesihatan dan keselamatan anaknya Kamarul yang dibuktikan dengan menjaga anaknya di hospital selama empat hari gara-gara dilanggar kenderaan.

4. Baik hati
contohnya Kamarul memberi cenderamata kepada atlet Filipina, De Wega yang banyak memberi nasihat dan dorongan sehari sebelum pertandingan dijalankan sehinggakan dia meraih pingat emas dalam acara 100 meter dan 400 meter.

5. Keberanian
contohnya Kamarul berani menghadapi cabaran walaupun pada peringkat awal dia tidak yakin dapat menggondol pingat emas dalam acara 100 meter dan 400 meter kerana menyedari tahap kecergasannya yang belum pulih. Namun sebagai jurulatih, Encik Kadir tetap yakin Kamarul mampu menggondol pingat tersebut dan akhirnya keyakinan Encik Kadir menjadi kenyataan.


PENGAJARAN :

1. Kita hendaklah melahirkan rasa syukur jika memperoleh sesuatu kejayaan atau anugerah
contohnya Kamarul melahirkan rasa syukur kepada Allah SWT apabila memperoleh pingat emas dan memecah rekod baharu dalam acara 100 meter di Sukan SEA.

2. Kita perlu mempunyai semangat patriotism
contohnya Kamarul menganggap kemenangannya memperoleh pingat emas dalam acara 100 meter dan 400 meter di Sukan SEA bukan sahaja untuk dirinya tetapi untuk negara.

3. Kita sewajarnya mempunyai perasaan kasih sayang
contohnya Mak Jah mengambil berat kesihatan dan keselamatan anaknya Kamarul yang dibuktikan dengan menjaga anaknya di hospital selamat empat hari gara-gara dilanggar kenderaan.

4. Kita sepatutnya menghargai jasa
contohnya Kamarul memberi cenderamata kepada atlet Filipina, De Wega yang banyak memberi nasihat dan dorongan sehari sebelum pertandingan dijalankan sehinggakan dia meraih pingat emas dalam acara 100 meter dan 400 meter.

5. Kita seharusnya mempunyai keberanian menghadapi cabaran
contohnya Kamarul berani menghadapi cabaran walaupun pada peringkat awal dia tidak yakin dapat menggondol pingat emas dalam acara 100 meter dan 400 meter kerana menyedari tahap kecergasannya yang belum pulih. Namun sebagai jurulatih, Encik Kadir tetap yakin Kamarul mampu menggondol pingat tersebut dan akhirnya keyakinan Encik Kadir menjadi kenyataan.

No comments:

Post a Comment